Thursday, August 20, 2009

Perit getir di Tanjung Puteri dan kembali ke Temasek

Setelah berhenti dari perkhidmatan kerajaan, aku melangkah ke sektor swasta sebagai pengurus cawangan sebuah syarikat pembinaan. Kehidupan aku menjadi lebih baik tetapi tugas yang ku pikul semakin besar. Beberapa projek pembinaan sekitar negeri Johor adalah dibawah tanggung jawabku. Tugas ku semakin sibuk dan semakin sukar kerana aku harus bertanggung jawab dalam segala urusan syarikat termasuk soal soal kewangan dan untung rugi prestasi syarikat. Namun gaji yang diberikan agak lumayan sehingga aku dapat membeli sebuah kereta mewah BMW. Usia semuda ini aku berjaya meletakkan diri ku bersama sama ahli ahli professional yang lain walau pun aku hanyalah seorang separa professional.
Pada ketika itu juga isteri ku mengandungkan anak kami yang pertama dan selamat dilahirkan di hospital pakar Johor Bahru semasa di ambang hari natal pada tahun 1985. Kami dikurniakan seorang bayi lelaki yang cukup comel dan sihat. Selepas hampir satu tahun usia anak lelaki kami, Malaysia telah dilanda oleh masalah ekonomi yang teruk sekali. Kami sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari atau pun bidalan kita mengatakan langit tidak selalu cerah. Syarikat induk di KL tidak berupaya menyokong pengurusan syarikat di JB dan aku terpaksa meneruskan urusan syarikat bersendirian kerana aku adalah juga pemegang saham syarikat tersebut di Johor Bahru. Dengan pengalaman yang sedikit dalam dunia perniagaan syarikat aku akhirnya juga tumpas setelah beroperasi bersendirian selama setahun lebih.
Pada tahun 1987 kami sekeluarga mengambil keputusan untuk meninggalkan JB dan pulang semula ke Singapura. Alhamdulillah aku mendapat kerja di sebuah kilang perabut kecil sebagai pereka dan juga pegurus kilang. Gaji pun tidak seberapa tapi cukup untuk menampung kehidupan kami yang baru di Singapura. Isteri ku juga mendapat pekerjaan di Pasir Panjang sebagai production supervisor sesuai dengan kelulusan beliau. Kami sekeluarga terpaksa menumpang dirumah ibubapa ku sebelum kami mendapat rumah sendiri di Yishun. Hampir 7 bulan kami menumpang di rumah ibubapa ku sebelum kami pindah ke flat 4 bilik kami sendiri.
Keadaan menjadi bertambah baik kerana aku mendapat pekerjaan yang lebih baik sebagai pengurus pemasaran dan jualan bagi syarikat lampu terbesar di Asia Tenggara iaitu Crystal Palace yang mempunyai operasi di Singapura, Malaysia dan Indonesia. Aku bertanggung jawab atas prestasi jualan runcit di bilek pameran utama di River Valley Road dan lima cawangan lagi di merata Singapura disamping jualan melalui tender untuk projek projek perumahan mewah di Singapura. Aku terpaksa berhenti menulis kerana ada aduan bahawa bilek air di arrival hall kotor..nanti aku sambung lagi..hehehe

Friday, August 14, 2009

Tanjung Puteri 1983-1987

Lama betul aku berhenti menulis. Maklumlah waktu waktu pertengahan tahun ini aku cukup sibuk dengan hal hal pekerjaan ku. Tugas sebagai seorang pencuci tandas ini sungguh memcabar kerana aku harus pastikan semua kerja kerja berjalan dengan lancar.
Setelah mendirikan rumah tangga, aku menyuruh isteri ku berhenti kerja kerana berpindah ke Johor Bahru. Atas jasa baik setiausaha kerajaan negeri Johor aku dapat menduduki bungalow usang kerajaan negeri di Bukit Cagar. Bermulalah episod kehidupan rumah tangga ku dengan isteri tercinta. Dirumah ini soal soal keselamatan cukup merisaukan kami berdua. Disekeliling kawasan perumahan kerajaan negeri ini adalah sarang kegiatan dadah dimana terdapat beberapa flat yang agak usang terletak berhampiran kawasan kami terutama flat lumba kuda. Setiap kali apabila ingin pulang ke Singapura, kami akan berpesan kepada jiran jiran kami iaitu seorang hakim majistret dan seorang lagi jurutera elektrik iaitu Azman dan isterinya Ana untuk mengawasi rumah kami. Jika tidak, bersih dibuatnya kelengkapan rumah kami diangkut oleh penagih penagih dadah. Yang anehnya, pengarah anti dadah negeri Johor juga adalah jiran kami. Tetapi masalah ini tetap berleluasa.
Sebenarnya jikalau mengikut giliran aku terpaksa menunggu 3 tahun untuk mendiami rumah kerajaan itu tetapi oleh kerana hubungan baik ku dengan setiausaha kerajaan negeri, aku di berikan rumah itu dengan serta merta. Bukan apa, aku telah membaiki rumah rasmi setiausaha kerajaan dengan mutu kerja yang baik. Setiausaha kerajaan cukup berpuas hati dan menolong ku semasa aku membuat permohonan untuk mendiami rumah kerajaan. Oleh kerana aku pegawai JKR, aku dapat membaiki bungalow usang itu dan melengkapkannya dengan perabut perabut baru kerajaan. Jadi ramailah suara suara yang tidak puas hati kedengaran. Aku tidak kisah kerana yang penting aku mempunyai bumbung diatas kepala untuk melindungi keluarga ku...eh isteriku pada masa itu.
Sebagai pembantu arkitek, gaji ku bukanlah besar sangat. Aku masih ingat bahawa gaji ku hanyalah RM 1050.00 sebulan. Tetapi pada masa itu agak besar juga dan perbezaan tukaran wang hanyalah 10% in favour of matawang Singapura. Disini juga aku berjaya membeli kereta baru 'toyota LE', kereta yang sangat handsome pada ketika itu. Namun perbelanjaan bulanan kami kawal dengan baik dan dapat menjalani kehidupan dengan sempurna walaupun aku seorang sahaja yang bekerja.
Tidak berapa lama kemudian aku terpileh untuk belajar sambil bekerja di Jepun selama 6 bulan dibawah dasar pandang ke timor. Syaratnya aku tidak dibenarkan membawa keluarga bersama. Jadi aku terpaksa menolak tawaran tersebut kerana maklumlah aku pun baru sahaja mendirikan rumah tangga. Setelah menolak tawaran itu, aku diberitahu oleh pegawai tadbir bahawa aku mungkin ditukarkan ke Kota Bharu tidak berapa lama lagi. Sebagai pegawai persekutuan aku memang terpaksa akur jika mendapat perintah pindah walau dimana pun aku di arahkan. Ini termaktub dalam perjanjian pekerjaan ku yang telah aku tanda tangani.
Aku tidak mahu berpindah dan tanpa di duga aku ditawarkan oleh sebuah syarikat di KL untuk menjadi pengurus cawangan di Johor Bahru dengan gaji dua kali ganda. Ekoran dari itu aku berhenti dari perkhidmatan kerajaan persekutuan Malaysia selepas itu.
Kami kemudian berpindah kesebuah kawasan mewah di belakang istana bukit serene....ada pulak panggilan talipon dari boss aku...nanti aku sambung lagi....