Thursday, November 25, 2010

Berangkat ke Doha

Memang sudah lama aku tidak menulis…sudah terlalu lama kerana aku sangat sibuk dengan kegiatan harian ku. Semenjak perjumpaan semula teman2 sekolah ku iaitu reunion BVSS 75 hinggalah sekarang aku amat sibuk sekali. Banyak perkara yang berlaku dalam menjalani kehidupan seharian ku. Apa yang penting, teman teman ku sudah semakin rapat antara satu sama lain dan selalu berhubungan jika ada perkara perkara seperti Walimatul Urus, kenduri kendara atau pun perjumpaan dalam kumpulan kumpulan kecil.
Aku sendiri sudah tidak bertugas lagi di Penguasa Penerbangan Singapura untuk menaik taraf Terminal 1 di Changi Airport. Aku meninggalkan tugas ku di Changi pada bulan Julai lepas kerana memulakan tugas baru di Doha , Qatar. Aku menerima tawaran untuk bertugas di Doha semata mata untuk menambah pengalaman ku bertugas di Negara Teluk tersebut. Aku memulakan tugas ku pada 8hb August 2010 untuk membina lapangan antarabangsa Doha yang baru.
Aku berangkat ke Doha sendirian dahulu kerana isteri ku masih lagi menemankan anak lelaki yang masih bercuti semester universitinya di Singapura. Semasa aku berangkat pada pagi sabtu itu, ramai juga anak anak buah ku yang menghantar ku di lapangan terbang Changi selain dari isteri serta anak ku dan temanitanya. Aku juga agak terkejut dan tidak menyangka kerana sahabat lama ku yang bernama Jamaliah Ahmad dan anak anak juga menghantar ku di Lapangan terbang. Perasaan sedih menyelubungi diri ku kerana meninggalkan keluarga dan teman teman ku di Singapura. Penerbangan ke Dubai memakan masa lebih kurang 7 jam dengan transit selama 2 jam dan 1 jam penerbangan lagi ke Doha.
Semasa aku tiba di Doha, cuaca adalah cukup panas. Kalau tidak silap ku suhu adalah setinggi 48 darjah celcius. Mentari seakan membakar tubuh ku terutama bahagian kepala ku. Aku sampai di Doha waktu suhu panasnya sedang memuncak. Aku di jemput seorang pemandu bernama Mahmoud yang berasal dari Bangladesh yang sentiasa tersenyum, peramah dan amat hormat ku, lebih lebih lagi bila aku memberitahunya bahawa aku seorang Melayu yang beragama Islam. Aku ditempatkan di sebuah hotel di pusat Bandar lama Doha selama beberapa hari sebelum berpindah ke ‘service apartment’ yang berdekatan dengan pejabat ku. Mahmoud menjadi pemandu peribadi ku selama beberapa minggu sebelum aku di berikan kenderaan syarikat untuk kegunaan peribadi ku. Mahmoudlah yang mengambil aku dan menghantar aku pulang dari pejabat setiap hari. Hari hari berikutnya aku sudah dapat menyesuaikan diri ku dengan cuaca di Doha tetapi merasa amat rindu dengan isteri, keluarga dan teman teman rapat ku di Singapura dan Malaysia. Maklumlah aku sendirian di Doha lebih lebih lagi pada waktu itu kita semuanya sedang menjalani ibadah puasa dibulan Ramadan.
Isteri ku, Mas menyusuli ku seminggu sebelum ketibaan hari raya aidilfitri. Anak ku telah pulang semula ke Moscow untuk menjalani latihan sebagai ‘houseman’ di hospital di Negara kuasa besar itu. Dengan kedatangan isteri ku, tidaklah rasa kesunyian sangat apabila menyambut raya pada masa itu. Walaupun begitu aku dan isteri masih merasa kesunyian kerana hanya kami berdua yang menyambut syawal yang sepi di Doha, tanpa anak anak, keluarga dan sahabat sahabat yang aku sayangi. Kebiasaanya rumah kamilah yang paling ramai di serang oleh adik beradik dan anak anak buah sama ada di Singapura atau pun diMalaysia. Ianya tidak berlaku disini. Mahu tidak mahu kami masih boleh tersenyum dan gembira kerana setidak tidaknya raya dapat juga di sambut suami isteri di bandaraya yang amat asing bagi kami ini. Hari raya disini tidaklah disambut semeriah di Singapura ataupun di Malaysia kerana raya hanya disambut selama 3 hari dan di raikan oleh keluarga terdekat sahaja. Tiada pakaian sedondon, tiada kelihatan orang ramai ziarah menziarah atau pun suasana meriah dengan lampu kelap kelip atau yang seumpamanya. Kami sendiri hanya pergi ke kedutaan besar Malaysia untuk menyambut ailfitri dan kemudian pulang terus kerumah. Tiada siapa yang mengadakan rumah terbuka pada hari itu tetapi kami dapat berkenalan dengan beberapa keluarga ‘expatriates’ yang lain dari Malaysia. Kebanyakan mereka bekerja di dalam bidang gas dan petroleum dan juga pembinaan. Rata rata adalah ahli ahli professional dan tenaga mahir yang membantu Qatar dalam perkembangan ekonominya yang amat pesat pada masa ini. Qatar mempunyai pendapatan per kapita yang tertinggi sekali di dunia setelah mengatasi Luxembourg setahun yang lalu. Maka banyaklah warga warga asing dari merata di dunia berada di Doha terutama warga Amerika Syarikat dan Britain yang memonopoli banyak bidang perniagaan dan pembangunan di Qatar ini. Setesyen television antarabangsa Al-Jazeera juga berpusat disini yang siaranya semakin diminati para penonton seluruh dunia.
Sebelum isteri ku tiba di Doha, aku di berikan sebuah apartment 3 bilik di sebuah suburb di luar Doha. Apartmentnya amat selesa dan dilengkapi dengan kolam renang, gymnasium latihan fitness dan juga kemudahan kemudahan sukan tenis, bola keranjang dan lain lain. Kalau di Singapura ianya di panggil condominium tetapi disini dipanggil ‘village’, satu penempatan yang di panggil ‘gated community’. Jiran jiran ku terdiri dari warga warga British, American, Australian, Negara Negara teluk yang lain dan ada juga dari Malaysia, Filipina, Indonesia, Singapura dan India.

No comments:

Post a Comment