Wednesday, June 24, 2009

Prince Charles Square, Singapore 1968-1986

Apa kyabar? Aku harap semuanya sehat walafiat bersama keluarga dan orang orang yang di kasehi. Aku ingin bercerita lagi takut takut terlupa pula fakta fakta yang berada di dalam otak aku ni hilang.
Setelah berpindah berkali kali, akhirnya keluarga aku mendiami quarters ini agak lama iaitu lebih kurang 17 tahun. Lama kan? Di sinilah aku menjalani zaman kanak kanak ku dan berpindah ke alam remaja dan seterusnya mendirikan rumah tangga. Di sinilah juga aku mempelajari dan mengerti tentang kehidupan dalam erti kata yang sebenarnya. Turun naik kehidupan, susah senang, suka duka semuanya ku alami di rumah ini. Di sini juga aku mempelajari tentang persahabatan, tentang kasih sayang, tentang percintaan, konflik, pertembungan minda antara yang benar dan salah dan banyak lagi persoalan yang masih belum terjawab walau pun hingga ke hari ini.
Kehidupan berjiran adalah sesuatu yang menjadi agenda utama semasa aku tinggal di sini. Prince Charles Square adalah satu nama jalan yang di ambil dari nama anakanda lelaki Queen Elizabeth ia itu putera Charles dari UK. Tempat ini sebenarnya terletak di antara Alexandra Road dan Jervois Road. Satu lagi pertembungan kelas kehidupan yang sering menjadi persoalan di minda ku di mana Alexandra Road penuh dengan rumah rumah pangsa awam yang di diami oleh rakyat biasa dan Jervois Road pula ia lah satu kawasan mewah yang di diami oleh perwakilan perwakilan asing dan peniaga peniaga serta ahli ahli korporat besar yang terkenal di merata Asia. Mereka termasuklah tuan punya Metro Holdings, Pemaju hartanah Atang Latiff dari Indonesia, Pesuruh jaya tinggi Canada, Malaysia, Brunei dan 'expatriates' dari merata dunia.
Di sini aku melihat bagaimana jurang kehidupan begitu ketara sekali. Dalam hati kecil ku sering bertanya bagaimanakah ini boleh terjadi dan apakah yang menyebabkan terdapatnya perbezaan status hidup yang begitu jauh di antara Alexandra Road dan Jervois Road. Di Alexandra Road pula pada masa itu terdapat deretan rumah rumah pekerja mengikut susunan abjad Blok A, B, C dan seterusnya. Aku pernah mengaji di salah sebuah rumah tersebut di mana anak perempuan ustaz itu bernama Sulastri. Beberapa teman sedarjah ku juga tinggal di kawasan ini. Pada masa itu aku belum tahu lagi tentang erti alam bina dan rekabentuk alam sekitar. Walau bagaimana pun apa jua status kediaman itu, bukanlah menjadi penghalang untuk bangsa ku untuk bergerak kehadapan dan maju seiring dengan bangsa bangsa lain di Singapura. Aku teringat pula sebuah lagu yang berbunyi 'orang kita bukan mewah tapi kaya budi bahasa..' Pernah dengarkan?
Di hadapan rumah ku terdapat dua buah blok setinggi 18 tingkat berdensiti tinggi yang di diami oleh penghuni penghuni berbilang bangsa. Terdapat ramai teman teman sedarjah ku tinggal di dua blok tersebut. Mereka termasuklah dua Nordin. Seorang ialah Nordin Sueb yang juga kami gelar Nordin nasi lemak dan seorang lagi Nordin Abdul Rahman yang kami panggil Nordin goreng pisang. Gelaran itu hanyalah untuk membezakan panggilan mereka berdua yang kebetulan adalah jiran duduk sebelah menyebelah di tingkat empat. Nordin Sueb kemudian menjadi teman rapat ku semasa di menengah satu dan dua dan hingga ke hari ini.
Disebelah rumah ku pula terdapat sebuah keluarga yang besar iaitu keluarga wak Rahman. Merekalah yang menjadi jiran kami bertahun tahun dari aku kecil hingga dewasa. Oleh kerana terlalu lama kami berjiran, kami juga telah menganggap mereka seperti keluarga kami. Kak Som, Kak Kiah, Abang Johari, Gayah, Latipah, Hanisah, Idit, Kadir, Maznah, Rosmina, Rosmini dan Jamal adalah sebahagian dari kehidupan kami di sana. Kami membesar bersama sama sehinggalah mereka berpindah ke West Coast apabila wak Rahman pencen dari bekerja di sekolah tersebut. Setelah wak Rahman sekeluarga berpindah dari situ, rumah itu kemudian di diami oleh keluarga pak Hashim. Aku sendiri kurang rapat dengan keluarga tersebut kerana aku telah pun meninggalkan Singapura kerana melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara di Shah Alam.
Di belakang rumah ku terdapat sebuah kediaman kelumpuk keturunan Bawean. Di rumah itu aku belajar mengaji dan mempunyai ramai kawan lelaki dan perempuan. Banyak peristiwa berlaku di sana dan biarkanlah ia menjadi kenangan peribadi aku sendiri. Keluarga obek Minah amat rapat dengan ku terutama Aziz Pani, Kak Neen yang cantik (suka melihat senyuman kak Neen yang manis tu), Kak Ros, Suriani, Nani dan sesekali abang Naim Pani (guru tarian yang amat terkenal dengan kumpulan Sriwana disamping menjadi cikgu sepenuh masa) . Semasa aku bertunang dengan isteri ku, obek Minah lah yang menyarungkan cincin aku ke jari manis isteri ku..hehe....tak tahu aku di mana mereka sekarang?
Di samping keluarga mereka terdapat beberapa keluarga yang agak rapat dengan ku seperti keluarga pak Lurah Haji Maswan, keluarga wak Man, Keluarga cik Sarah tempat aku belajar mengaji iaitu kak Mamah, Salamah Ali dan lain lain. Apabila kediaman berkelumpuk itu di robohkan untuk pembangunan perumahan mewah, mereka semua berpindah ke merata Singapura. Harap harap dapat berjumpa dengan mereka pada suatu hari nanti....

2 comments:

  1. Razak,
    Kita pernah main "futsal" kat basketball court sekolah tu...

    ReplyDelete
  2. Azman,
    Betul tu..tak salah. Tepat sekali...seronokkan pada masa tu..

    ReplyDelete